Thursday, September 17, 2009

Pelik tapi benar

Akhirnya Ramadhan hanya tinggal 2 hari saja lagi. Tiba-tiba saja tahun ni aku rasa sayu sangat di akhir Ramadhan ni. Rasa macam biarlah setiap bulan adalah bulan puasa..!!


Tahun ni agak pelik. 
Tahun ni aku kembali bersendirian.
Tak ada jemputan berbuka puasa lagi. Instinct aku kuat, tahun lepas adalah yang terakhir. Agak hati kecil aku, akan ada yang berkata, semua terjadi berpunca dari aku. Erm..betul. Aku kata pada hati kecil aku, terimalah ketentuan tu. Redha saja dengan semua yang dah berlalu. Luka boleh diubati, tapi parutnya pasti berbekas. Harapnya hanya kuasa Tuhan saja dapat menghilangkannya.


Tahun ni memang pelik.
Kebiasaannya aku orang yang paling awal pulang ke kampung. Namun kali ini, aku orang terakhir. Mungkin sebab aku menggunakan perkhidmatan awam, maka tak usah bimbang dengan kesesakkan lalulintas.Itu mungkin satu kelebihan, tapi keseronokan pulang ke kampung halaman tu tak terasa sangat. Kalau pulang dengan kereta sendiri, pasti lagi meriah dan hati tak sabar untuk sampai ke kampung halaman. Emm...itu juga nampaknya kali terakhir. Terasa baru saja berlalu. Tidur hanya beberapa jam dan bersiap-siap untuk pulang ke kampung sebelum tibanya waktu sahur. Bila tiba waktu sahur di tengah lebuhraya, menyuapkan bubur lambuk kepada pemandu. Semuanya takut tersekat dalam kesesakan lalulintas dan akan menyebabkan lambat sampai ke kampung. Seronoknya masa tu....... Tapi semuanya dah  berlalu. Tak mungkin akan berulang. Sekali lagi harus redha dan terima ketentuan Tuhan. 


Memang lain sangat tahun ni. Aku kembali seperti dulu. Tak ada sesiapa yang tunggu kepulangan aku dan tak ada siapa yang boleh aku kongsi kegembiraan pulang ke kampung. Satu lagi yang aku terasa pelik kali ini, ialah aku tak teruja langsung dengan juadah-juadah untuk berbuka puasa...! Cukup sekadar segelas air milo atau segelas air suam. Makan..? Apa yang terhidang depan mata, itulah yang aku makan. Jika tak ada, keinginan untuk memasak atau membeli juadah, tak aku rasa sangat. Tak ada ayam percik, gulai kawah atau apa saja. Pelik..memang pelik. Aku sendiri tak tahu kenapa. 
Hati rasa kosong.....
Kosong yang amat. 
Tak ada rasa teruja, gembira, excited....
Tak ada beza bulan puasa atau bulan-bulan biasa. 
Tak ada jemputan berbuka, bersama teman mahupun ahli keluarga. 
Dan yang paling pelik...aku tak pernah terlepas bangun sahur....!!! Itu memang pelik. Entah apa mimpi, sangat rajin bangun sahur walaupun hanya sekadar meneguk air suam. 


Haish...pelik. Sangat sangat pelik bagi aku.
Apa yang pasti, minggu pertama puasa aku sangat gembira dan terasa yang aku berada di bulan puasa. 
Ahh..biarlah. Harapnya ini bukan yang terakhir untuk aku. Moga dapat jumpa lagi tahun depan. Harapnya dengan keadaan yang lebih baik dari tahun ini. 


Esok aku masih bertugas. Sengaja aku tempah tiket rapat ke menjelangnya Syawal. Balik awal-awal pun tak ada siapa. Pelik juga tu. Sebab aku masih bertugas dan orang lain dah sampai ke kampung halaman masing-masing.


Persiapan raya macam mana..?
Ini pun pelik juga. Aku tak teruja nak siapkan apa-apa. Cuti raya rasanya sekadar cuti dari kerja dan ziarah sanak saudara yang mana masih ada. Dah tua-tua macam ni nak beraya beriya apa lagi..! Bagi kat budak-budak saja lah, tapi aku masih terasa pelik. Apa dah jadi pada diri aku ni..??? Nasib baik aku minta cuti juga. Kalaulah aku kerja di pagi hari raya, itu sangat-sangat pelik bagi aku..!! 


Haish...banyak yang pelik tahun ini. 
Apa-apa pun, diucapkan Selamat Aidilfitri kepada semua. Maaf Zahir Batin. Semoga bergembira bersama insan tersayang...


badakbiru : Ingatkan blog ni akan sunyi lagi, tapi rasanya akan ada update dari aku sepanjang Raya nanti.

No comments:

Post a Comment